Total Pageviews

Saturday, June 11, 2011

Andainya aku masih di situ…

Andainya aku masih di situ…


Andainya aku masih berada di sekolah rendah, SK Rantau Panjang Lanchang dan SK Teruntum Kuantan,  daripada banyak menghabiskan masa membaca buku seorang diri, akan aku luangkan sebahagian besar masa ku bermain dengan kawan-kawan. Cuba mengenali mereka dengan lebih dekat dan ambik gambar banyak-banyak dengan mereka. Baru sekarang aku sedar aku hanya ada sekeping gambar kenangan sewaktu sekolah rendah, dan kini aku tidak pasti ke manakah perginya semua kawan-kawanku itu. Aku rindu pada mereka tapi tidak tahu bagaimana mahu menghubungi mereka….dan… aku juga akan habiskan waktu yang panjang bersembang dengan datuk dan nenekku, menemani mereka ketika berkebun..bukan duduk terperuk di rumah mengadap buku-buku sekolah. Sekarang, setelah mereka telah tiada baru aku sedar aku jarang benar berbual-bual dengan mereka dan sebenarnya .....aku amat rindu pada mereka…

Andainya aku masih di situ…



Andainya aku masih di sekolah Tun Fatimah Johor Bahru, aku akan meluangkan lebih masaku untuk mengenali lebih ramai rakan sekolah ku, junior mahupun senior.. bukannya sibuk ke sana ke mari dengan ‘clique’ ku sahaja. Kini aku sedar menghabiskan masa dengan satu kumpulan kawan yang kecil, kononnya ‘geng’ memang tidak menguntungkan kerana selepas tamat persekolahan bukan semua akan kekal menjadi sahabat ...kebanyakkannya akan terus memilih haluan masing-masing. Mujur lah sekarang ini melalui FB aku berpeluang menyertai group Srikandi yang merupakan group alumni STF. Sedikit sebanyak dapat juga membantu mengeratkan kembali hubungan dengan kawan-kawan yang telah lama  terpisah. Malahan sekarang ramai yang telah menjadi rakan FB rapat ku walhal semasa sekolah dahulu kami tidak pernah pun berbual mesra...

Andainya aku masih di situ…



Andainya aku masih menjadi pelajar di Universiti Malaya peringkat degree, akan aku luangkan lebih banyak waktu menyertai program-program outdoor yang mencabar yang bisa menjadikan aku seorang yang lebih berani dan kental menghadapi cabaran hidup …bukannya hanya sibuk bersengkang mata membaca buku  untuk persediaan  exam demi exam yang tidak pernah habis....

Andainya aku masih di situ…

Andainya aku masih mengajar di SMK Agama Pahang dan SMK Zon R1, akan aku luangkan lebih waktu untuk para pelajarku, mengenali hati budi mereka, mendalami permasalahan mereka dan menjadi tempat untuk mereka mengadu. Bukannya hanya menghabiskan masa di bilik guru menanda buku, dan menyiapkan kerja-kerja perkeranian yang  bagai tiada penghujungnya….

Andainya aku masih di situ…

Andainya aku masih menjadi pelajar peringkat master di Universiti Malaya, aku pasti akan lebih banyak meluangkan masa berdiskusi dengan rakan-rakanku tentang kehidupan, agar aku lebih bersikap terbuka dan peka tentang isu-isu masyarakat , bukannya asyik  berdiskusi tentang perkara-perkara  profesional yang membosankan ...

Andainya aku masih di situ…

Andainya aku masih berkhidmat sebagai penolong pengarah di EPRD, akan aku habiskan masa ku mendekati lebih ramai guru-guru di sekolah dan bertanya tentang permasalahan mereka, serta ... berbincang dan bertukar-tukar fikiran dengan rakan-rakan dan pegawai-pegawai senior, agar aku dapat mempelajari dan memahami lebih banyak tentang  isu-isu pendidikan, bukannya menghabiskan masa bergelumang dengan minit-minit mesyuarat yang sering membincangkan hal-hal yang telah lepas yang pastinya tidak dapat diubah...

Namun, aku sedar.... masa yang berlalu tidak mungkin dapat ku ulangi. Meskipun kini  semuanya tinggal kenangan,  namun kenangan-kenangan itulah sebenarnya yang telah meletakkan aku di sini, pada ketika ini.  Pengalaman yang telah ku kutip itu lah yang menjadikan aku ,AKU..

2 comments:

  1. sy tgk gambar yg sekolah menengah tu, bangunan macam familiar, rupanya k.azzah senior sy.. sy batch 9903 :)

    ReplyDelete
  2. Hi Nurul Huda!:)thanks sbb sudi singgah..

    ReplyDelete